Isnin, Mei 14, 2012

Cerpen : KISAH HATI...#27



Ringtone Bidadari bergema lagi . Arina segera mendapatkan telefon bimbitnya . Abang angkatnya sudah tiba rupanya ! Dia menuju ke balkoni melambai-lambai ke arah kereta Tajul yang dipandu oleh anak saudaranya , Farhan yang tercari-cari akan blok kediamannya . Setelah kereta Tajul berhenti di hadapan bloknya , Arina kembali ke bilik mengambil beg dan mengunci pintu lantas menuruni blok itu .

Farhan membuka but kereta untuk Arina meletakkan barang-barangnya . Tajul beralih ke tempat duduk belakang setelah mempersilakan adik angkatnya ini duduk di hadapan bersama Farhan . Perjalanan mereka bermula .

Hi Zammir,kita ni.Just nak cakap esok kita balik.Tajul hantar.Mula2 tu memang kita dah plan nak naik KL.Tapi once you dah macam ni,plan just plan.Kita betul2 berharap Zammir balik mid term ni…

Muzammir melihat data sms itu . Jam 0324  . Arina … janganlah kau menyiksa aku begini ! Zammir sedar kerana Arina terlalu memikirkan dirinyalah maka tidur gadis itu kembali lewat . Walaupun daripada air muka Arina , ramai yang menyangka Arina mampu bertindak kasar , menyerangnya tanpa belas kasihan , namun Arina sebenarnya tidak begitu . Jiwanya terlalu halus . Jarang Arina meninggikan suara tanpa airmata yang ditahan-tahan . Arina seorang yang terlalu berfikir sebelum bertindak . Menjadikan selain kelemahan Arina yang pernah dinyatakan , sukar untuk Muzammir cari kelemahannya yang lain . Cuma sejak dia mendengar cerita Elise , Arina menjadi seorang yang terlalu curiga .

Pada sangkaannya , Arina akan mengalah apabila Muzammir mempersoalkan kepercayaan Arina kepadanya . Namun ternyata , dia silap . Dalam ketepatannya menjangka tindakbalas Arina , kali ini dia tersilap jua . Arina bukanlah selemah yang disangka ! Dia sanggup berbuat apa sahaja andai sudah terluka . Termasuk mengintipnya !

Mujurlah pada hari mereka terserempak dua minggu lepas , Muzammir hendak bertemu dengan Intan , adiknya . Kalau tidak … tidak tahulah bagaimana reaksi Arina ketika itu . Memang dia kagum dengan Arina yang berani mengakui segala perbuatannya . Biarpun terlewat , Arina masih berani menerangkan apa sebenarnya . Pengecutkah aku bertindak begini ? Adilkah andainya aku membuat Arina terus tertanya-tanya ?

Arina … sudah lama dia tidak mendengar suara manja yang nakal milik gadis itu . Dia tidak pasti sama ada dia masih rindukan gadis itu . Dia tidak tahu apa perasaannya pada Arina ketika ini . Dia tidak pasti sebenarnya mengapa dia bertindak begini . Telah ditaburkan pelbagai harapan kepada Arina … pelbagai impian bersemi … haruskah dia mengecewakan setelah apa yang diusahakan selama ini ?

Tabahkah Arina menghadapi semua ini ? Ah , Arina … Zammir masih seperti dulu ! Cuma Zammir perlukan masa untuk bersendirian buat beberapa ketika . Maafkan Zammir kerana memperlakukan Reen sekejam ini . Ya , memang Zammir telah berlaku kejam pada Reen bila Zammir buat macam ni … tapi percayalah pada Zammir ! Percayalah , Sayang … hubungan kita ini akan kembali pulih seperti sediakala . Cuma ia memakan sedikit masa . Bersabarlah !


0 ulasan: