Ahad, Mei 13, 2012

Cerpen : KISAH HATI...#26



Sudah beberapa minggu giliran Arina yang diam . Hanya sesekali dia menghantar pesanan ringkas pada Muzammir . Entah kenapa dalam dia menyayangi jejaka itu , dia akui ada masanya dia merasakan lebih baik bersendiri .

Perasaan Arina bercampur baur . Antara marah , bingung , rindu , sayang , benci sehinggakan dia sudah tidak tahu apakah perasaannya pada Muzammir kini . Dia berasa kehilangan sebenarnya . Dia dibayangi Muzammir . Pintanya hanya satu , semoga segala kebingungan yang melanda ini segera berakhir . Semoga hubungannya dengan Muzammir segera pulih . Arina tidak mahu terus begini . Kebingungan .. kehilangan .. Arina mahukan semua rasa yang tidak-tidak ini dibunuh segera dan berganti dengan kasih sayang dan kemesraan yang lebih membahagiakan lebih dari dulu ! Dan harapannya yang paling utama , Zammir akan tetap setia seperti dahulu !

Kad ucapan yang sudah siap dimasukkan elok-elok ke dalam sampul . Esok dia akan poskan kad itu kepada Muzammir . Harap-harap Muzammir suka . Ya , Arina berasa marah dan masih keliru . Namun satu yang dia tetap pasti , dia sayangkan Muzammir seadanya !

Rabu 10.07.02
0238 hrs
Hai , apa khabar ? Maafkah kalau kad ini serba-sedikit mengganggu emosi Zammir yang sampai sekarang membuatkan Reen bingung memikirkan apa sebenarnya . Hanya kad ini yang mampu menjadi pengganti diri Reen pada ketika kita berjauhan . Reen tidak tahu apa yang Zammir rasa ketika terima kad ini … marah , benci , tergamam , sedih atau gembira … Reen tidak tahu … cukuplah Reen tahu yang Reen masih mengingati Zammir , hari-hari istimewa  kita , perasaan Reen pada Zammir dan tanggungjawab Reen pada hubungan kita , kan ?

Reen tidak mahu bercerita panjang seperti sebelum ini , kerana Reen tidak mahu mengambil terlalu banyak masa Zammir setiap kali Zammir baca kad ini ( mungkin hanya sekali ini Zammir sudi membaca kad ni ) . Sesungguhnya … Reen akui , Reen terluka dengan sikap Zammir kebelakangan ini . Biarpun Reen tegar mempercayai Zammir , itu semua seolah-olah sia-sia andai Zammir terus berkelakuan begini … diam tanpa khabar berita , diam tanpa kata-kata … menjadikan Reen tiba-tiba berasa malu dan macam orang luar pada Zammir … tapi Reen tidak tahu , kerana Zammir tidak berkata walau sepatahpun biarpun bukan sekali dua Reen mempersoalkan semua ini … bermacam cara Reen tanya ; cara lembut , cara bengang … semuanya Zammir pandang sepi . Apakah maksud semua ini ? Menjadikan Reen seorang yang terlalu pemikir . Bahagiakah Zammir menyeksa Reen begini ? Apakah dengan membiarkan Reen tertanya begini lebih mudah dari menerangkan apa sebenarnya , Zammir ? Benarkah begitu ?

Reen tahu , Zammir bosan bila Reen terus bertanya dan mengasak Zammir dengan pelbagai soalan tanpa jemu . Apa … Reen tidak bosankah berada dalam situasi yang membingungkan selama Zammir jadi begini ? Tidak berperasaankah Reen ini ?

Zammir … banyak cara untuk kita meluahkan perasaan , meluahkan emosi … kalau bukan melalui kata-kata , luahkan melalui sms … setidak-tidak pun , dengan pena ataupun teknologi terkini yang lain … susah sangat ke , Zammir ?

Reen , sesungguhnya mengakui … Reen terlalu sayangkan hubungan kita , Reen terlalu sayangkan Zammir . Tapi … andainya perasaan Zammir kini bukan kepada semakin sayang , apalah daya Reen untuk merayu pada yang tidak sudi … Mungkin kesilapan Reen , Reen terlalu mencurigai Zammir . Tapi kesilapan Zammir pula , hanya diam membisu membiarkan Reen terus mencurigai Zammir tanpa Zammir mahu membela diri . Sampai hati awak , Zammir …

Katakan sesuatu , Zammir . Andai sebaliknya pun , katakan … katakan apa salah Reen lantaran Zammir terus begini . Reen terluka , Zammir … dalam menyayangi , Reen sangat terluka !
Wassalam ….

Kad untuk Muzammir sudah diposkan semalam . Hari masih pagi . Arina masih bersiap-siap . Pagi ini dia akan pulang ke rumahnya dengan Tajul , abang angkatnya . Tajul seorang lelaki yang sudah berkerjaya , sudah berumahtangga dan sudah agak berusia . Pada mulanya , Arina agak berat untuk menjalin hubungan adik-beradik ini apabila mengenangkan status Tajul . Akan tetapi , apabila memikirkan hubungannya dengan Muzammir , ada baiknya dia memilih Tajul sebagai abang angkatnya . Maka tidaklah Tajul meletak harapan dan Muzammir pula tidak berasa cemburu !

Sebelum Arina memejamkan mata jam 0324 tadi , dia telah menghantar sms kepada Muzammir menyatakan dia akan pulang ke rumah bersama Tajul . Dia tahu Muzammir tidak akan membalas dan akan terus membisu . Namun , dia tidak boleh terus diam seperti lelaki itu . Biarlah Muzammir membuang smsnya walaupun sebelum dibaca , selagi belum bersemuka , Arina tidak perlu melatah hingga terjadi apa yang tidak diduga .

0 ulasan: