“ Kau nak ke mana ni ? ” tanya Rafidah sebaik sahaja Arina menuju ke tandas apabila tamat kelas Hidraulik .
“ Aku dengar , kau tengah kaya . So , aku pun nak pergi tengok akaun aku . Mana tau , aku pun kaya kejap lagi , ” balas Arina sambil membetulkan rambutnya . Setelah puas menghamburkan sendunya semalam , akhirnya dia kembali mampu tersenyum hari ini . Meskipun tanpa disedari , teman-teman sekeliling asyik memerhatikan dia pasti termenung setiap kali bersendirian .
“ Kau pergi seorang ke ? ” tanya Rafidah lagi .
“ Macam biasalah , kalau ada cik abang teman nanti jadi gossip pulak . Kau nak teman aku ke ? ” soal Arina kembali sambil cuba berlawak .
“ Memang aku nak keluar pun , nak tranfer ke akaun bank lain , ” Rafidah memberikan tanda setuju .
“ Aku pun kena tranfer akaun lain juga . Yelah , kau tahu ajelah , kat daerah aku tu mana ada bank tu . Bank finance dia banyaklah …, ” beritahu Arina sebaik sahaja mereka keluar dari tandas dan mula menuruni bangunan kelas menuju ke tempat menunggu van UiTM yang akan membawa mereka ke pekan berhampiran .
Setibanya mereka di bank , kebanyakan warga UiTM lain turut memeriksa akaun mereka menjadikan situasi bank agak sesak . Namun Arina dan Rafidah sabar menunggu . Hampir sejam penantian , giliran Arina tiba jua . Arina menghulurkan buku akaunnya ke kaunter dan mula menanti . Bimbang juga kalau-kalau penantiannya tidak berhasil . Melihatkan lebih ramai pelajar meninggalkan kaunter dengan wajah kecewa dari wajah gembira membuatkan Arina berasa serba tidak kena .
“ Check aje ke , dik ? ” tanya kerani kaunter bank itu sambil tersenyum lawa . Tanya semacam je ni ! Dah ada kot ?
“ Cash out lah kalau dah ada , kak , ” balas Arina seraya menunjukkan resit keluar dan kad pengenalannya . Kerani di kaunter itu akur dan urusannya segera dijalankan .
Alhamdulillah , ALLAH murahkan rezeki aku . Dalam beribu-ribu warga UiTM Pahang ini , pinjaman pelajaran aku dan Rafidah antara yang terawal selesai urusan . Setelah meminda wang pinjaman pelajarannya bersama Rafidah , mereka membeli barang-barang makanan segera memandangkan mereka jarang makan di dewan makan disebabkan oleh faktor masa yang agak padat pada hari kuliah .
“ Rina , kau balik minggu ni ? ” tanya Rafidah sewaktu mereka menjamu selera di salah satu kedai makan yang 2 deret itu .
“ Minggu lepas aku dah balik . Mungkin tak kot ? Kenapa ? ” Arina mengerutkan dahinya pelik .
“ Tak ada apa . Saja tanya , ”
“ Ye ke …? ” soal Arina dengan nada yang meleret-leret . Dibibirnya terukir senyuman nakal membuatkan Rafidah turut tergelak bersamanya .
“ Ha , baik kau cakap kenapa kau tanya . Nanti kalau aku ada plan lain , susah nak alter nanti , ” kata Arina lagi dalam nada mengusik seraya menyuapkan mee goreng mamak ke mulutnya .
“ Kalau boleh , aku nak kau temankan aku cari handphone baru kat KL . Boleh ke ? ” akhirnya terluah permintaan yang disembunyikan dari tadi .
“ La … itu pun nak malu . Aku ingatkan apa halnya tadi … boleh , apa salahnya . Kejap lagi kita ambil tiket sebelum balik kampus , ok ? ” Arina mengorak senyum dibibirnya tanda bersetuju . Kebanyakan teman sekelasnya memang sering memintanya untuk membawa mereka membeli-belah di ibu kota . Arina bukanlah pakar dengan selok-belok jalan di Kuala Lumpur . Setakat membawa mereka menaiki LRT dan komuter menuju ke destinasi yang hendak dituju , bolehlah . Sebelum ini pun puas dia belajar dengan Elise dan Farah tentang selok-belok jalan bandar metropolitan itu . Selain itu , Muzammir turut membantu .
Ah , Muzammir juga yang dia ingati sudahnya !
0 ulasan:
Catat Ulasan