Selasa, Jun 12, 2012

Cerpen : KISAH HATI...#44


“ Awak tak kerja esok ? Kenapa ? ” soal suara di hujung talian .

“ Saya tengah bercuti . Dari hari Sabtu lepas saya dah tiada di KL , ” Arina merenung ke jendela . Kedinginan malam di Tanah Tinggi Cameron menggigit tubuhnya . Sudah hampir 2 hari di sini , jiwanya yang merusuh beransur tenang .

“ Saya tak tahu pun awak pergi bercuti ? ” balas suara di hujung talian itu agak kendur .

“ Minta maaf , Zakuan . Saya pun tak rancang nak bercuti . Tapi tu lah , tiba-tiba tergerak nak bercuti. Nak ke sini pun tak rancang . Tau-tau sampai je , ” Arina memujuk jejaka itu lembut .

“ Sini di mana tu ya ? ”

“ Cameron , ”

“ Berapa hari di sana ? ”

“ Tak pasti lagi . Mungkin lama , atau sekejap , ”

“ Awak ok ke ? ”

“ Saya ok , Zakuan . Awak tak perlu risau ok ? ”

“ Tapi saya memang risau . Rina seorang diri saja di sana ? ”

“ Ya , seorang diri saja , ”

“ Memang saya risau ! ” kata-kata Zakuan itu membuatkan Arina tergelak kecil . Beberapa bulan kebelakangan ini Zakuan semakin kerap menghubunginya . Sesekali pula mereka keluar bersama-sama . Hanya berborak santai . Tiada apa yang istimewa pada Arina . Tambahan pula mereka sama-sama tidak berteman menjadikan Arina hanya menganggap pertemuan mereka hanya pertemuan biasa .

“ Apa yang mengganggu fikiran awak sebenarnya Arina ? "

“ Kenapa awak tanya macam tu ? Saya ok . Cuma rasa ingin bercuti . Itu sahaja , ”

“ Ada apa-apa yang mengganggu fikiran awak ? ” tanya Zakuan lagi .

“ Tiada apa-apa . Cuma beberapa hari ni rasa tidak bersemangat hendak kerja . Itu sahaja,” akui Arina akhirnya .

“ Ada orang masuk meminang ke ? Mak awak suruh kahwin ye ? ” usik Zakuan sambil tergelak kecil. Arina turut terkekeh-kekeh .

“ Kalau ada yang masuk meminang saya setuju aje lah . Lagi pun sekarang ni saya bukannya berkawan dengan sesiapa pun , ” balas Arina bersahaja namun masih tergelak .

“ Betul ? ””

“ Kalau betul caranya , kenapa mesti saya menolak , kan ? ”

“ Kalau saya yang masuk meminang ? ” Zakuan menduga .

“ Ada-ada sahaja awak ni Zakuan . Kalau awak nak kat saya , dah lama dah . Dari zaman saya jadi pelajar awak dulu . Bukan sekarang ni , ” Arina menjawab senang . Namun jantungnya agak berdebar. Zakuan ini pun kalau hendak bergurau , main petik sahaja !

“ Kalau saya yang masuk meminang Arina , bagaimana ? ” tanya Zakuan lagi . Kali ini lebih bersungguh-sungguh . Lebih serius nada suaranya . Ah sudah , betul-betul ke Zakuan ini ? Ataupun masih mahu bergurau ?

“ Zakuan , saya tak suka bergurau tentang perkara-perkara begini , ” jawab Arina tegas .
”Saya tidak bergurau , Arina . Saya serius , “   dan kata-kata Zakuan itu membuatkan Arina terpana!


0 ulasan: