Sebagai seorang insan, mak terpanggil untuk menyebarkan satu kisah agar ia menjadi tauladan kepada kita semasa hidup ini.
Sebagai seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya, Hasan (bukan nama sebenar), mengajak ibunya untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Sarah (juga bukan nama sebenar), si Ibu, sudah tentu berasa senang dengan ajakan anaknya itu.
Sebagai muslim yang mampu secara material, mereka memang berkewajipan menunaikan ibadah haji. Segala kelengkapan sudah disediakan. Ringkasnya ibu dan anak ini akhirnya berangkat ke tanah suci. Keadaan keduanya sihat walafiat, tak kurang satu apapun. Tiba harinya mereka melakukan tawaf dengan hati dan niat ikhlas menyeru panggilan Allah, Tuhan Semesta Alam. "Labaik allahuma labaik, aku datang memenuhi seruanMu ya Allah".
Hasan memegang ibunya dan berbisik, "Ummi undzur ila Kaabah (Bu, lihatlah Ka'bah) ". Hasan menunjuk kepada bangunan empat persegi berwarna hitam itu. Ibunya yang berjalan di sisi anaknya tak menunjukkan respons, ia terdiam. Perempuan itu tidak melihat ke arah apa yang ditunjukkan oleh anaknya. Hasan kembali membisiki ibunya. Dia bingung melihat raut wajah ibunya yang juga kelihatan kebingungan. Ibunya sendiri tidak faham mengapa dia tidak boleh melihat apa-apa selain kegelapan. Beberapa kali dia mengusap-usap matanya, tetapi apa yang dilihatnya hanyalah kegelapan. Padahal, tak ada masalah dengan kesihatan matanya sebelum ini. Beberapa minit yang lalu dia dapat melihat segalanya dengan jelas, tapi apabila memasuki Masjidil Haram segalanya menjadi gelap gelita.
Hasan bersolat di hadapan Kaabah memohon keampunan-Nya. Hatinya begitu sedih. Sesiapa yang datang ke Baitullah, mengharapkan rahmatNya. Hasan tidak berkecil hati, mungkin dengan ibadah dan taubatnya yang bersungguh-sungguh, ibundanya akan dapat merasakan anugerah-Nya, dengan menatap Kaabah, kelak. Anak yang soleh itu berniat akan kembali membawa ibunya mengerjakan haji pada tahun hadapan.
Bila sampai tahun berikutnya, ternyata nasib baik belum berpihak kepadanya. Tahun berikutnya kejadian serupa berulang lagi. Ibunya kembali dibutakan di dekat Kaabah, sehingga tak dapat menyaksikan bangunan yang merupakan simbol persatuan umat Islam itu. Wanita itu tidak boleh melihat Kaabah. Hasan tidak patah arang, dia kembali membawa ibunya ke tanah suci tahun berikutnya.
Anehnya, ibunya tetap tidak boleh melihat Kaabah sebaik saja berada di Masjidil Haram, yang nampak di matanya hanyalah gelap dan gelap.Begitulah keganjilan y ang berlaku pada diri Sarah, kejadian itu berulang sampai tujuh kali menunaikan ibadah haji.
Hasan tertanya-tanya apa yang menyebabkan ibunya menjadi buta di depan Kaabah, sedangkan di tempat lain, penglihatannya normal. Dia terfikir mungkin ibunya pernah membuat salah sehingga mendapat azab dari Allah SWT?. Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh ibunya, sehingga mendapat musibah seperti itu? Segala persoalan berkecamuk dalam dirinya.
Akhirnya dia memutuskan untuk mencari seorang alim ulama, yang boleh membantu permasalahannya. Kemudian dia mendengar ada seorang ulama yang terkenal kerana kesolehannya dan kebaikannya di Abu Dhabi.
Tanpa berlengah, Hasan bertemu dengan ulama yang dimaksudkan. Dia pun mengutarakan masalah kepada ulama yang soleh ini. Ulama itu mendengar dengan teliti dan kemudian meminta ibu Hassan menelefonnya sendiri. Anak yang berbakti ini pun pulang dan meminta ibunya untuk menghubungi ulama di Abu Dhabi tersebut. Si ibu iaitu Sarah pun menelefon ulama itu, dan menceritakan kembali peristiwa yang dialaminya di tanah suci.
Ulama itu kemudian meminta Sarah mengingat kembali, mungkin ada perbuatan atau peristiwa yang berlaku padanya di masa lalu, sehingga dia tidak mendapat rahmat Allah. Sarah diminta untuk bersikap terbuka, mengatakan dengan jujur, apa yang telah dilakukannya.
"Anda harus berterus terang kepada saya, kerana masalah anda bukan masalah kecil," kata ulama itu kepada Sarah. Sarah terdiam sejenak. Kemudian dia meminta masa untuk memikirkannya. Tujuh hari berlalu, namun ulama itu masih tidak mendapat khabar berita daripada Sarah. Pada minggu kedua setelah percakapan pertama mereka, akhirnya Sarah menelefon, "Ustaz, sewaktu masih muda, saya bekerja sebagai jururawat di rumah sakit," cerita Sarah akhirnya. "Oh, bagus ..... Pekerjaan jururawat adalah pekerjaan mulia," potong ulama itu. "Tapi saya mencari wang sebanyak-banyaknya dengan berbagai cara, tidak peduli, apakah cara saya itu halal atau haram," katanya berterus-terang.
Ulama itu terkejut. Dia tidak menyangka wanita itu akan berkata demikian. "Waktu itu ...." sambung Sarah, "Saya banyak kali telah menukar bayi, kerana tidak semua ibu suka dengan bayi yang telah dilahirkan. Ada yang mahukan anak laki-laki, padahal bayi yang dilahirkannya perempuan, dengan ganjaran wang, saya tukar bayi-bayi itu sesuai dengan keinginan mereka . "
Ulama tersebut amat terkejut mendengar penjelasan Sarah. "Astagfirullah ......" sampai hati wanita itu menyakiti hati para ibu yang diberi amanah Allah untuk melahirkan anak. Bayangkan, betapa banyak keluarga yang telah dirosaknya, sehingga tidak jelas nasabnya. Apakah Sarah tidak tahu, bahawa dalam Islam menjaga nasab atau keturunan sangat penting.
Jika seorang bayi ditukar, tentu nasabnya menjadi tidak jelas. Padahal, nasab ini sangat menentukan dalam perkahwinan, terutama dalam masalah mahram atau muhrim, iaitu orang-orang yang tidak boleh dinikahi. "Cuma itu yang saya lakukan," kata Sarah.
"Cuma itu?" tanya ulama terkejut. "Tahukah anda bahawa perbuatan anda itu dosa yang luar biasa, betapa banyak keluarga yang sudah anda hancurkan!". ucap ulama dengan nada tinggi.
"Lalu apa lagi yang anda lakukan?" tanya ulama itu lagi sedikit kesal. "Di rumah sakit, saya juga melakukan tugas memandikan orang mati." "Oh bagus, itu juga pekerjaan mulia," kata ulama "Ya, tapi saya memandikan orang mati kerana ada kerjasama dengan tukang sihir." "Maksudnya?". tanya ulama tidak mengerti. "Setiap saya bermaksud menyengsarakan orang, baik membuatnya mati atau sakit, segala perkakas sihir itu sesuai dengan syaratnya, harus dipendam di dalam tanah. Akan tetapi saya tidak menguburnya di dalam tanah, melainkan saya masukkan benda-benda itu ke dalam mulut orang yang mati. "
"Ada sekali itu, seorang alim meninggal dunia. Seperti biasa, saya memasukkan berbagai barang-barang tenung seperti jarum, benang dan lain-lain ke dalam mulutnya. Entah mengapa benda-benda itu tidak hendak masuk, walaupun saya sudah menekannya dalam -dalam. Ianya keluar semula. Saya cuba lagi berulang-ulang. Akhirnya, kemarahan saya memuncak, saya masukkan benda itu dan saya jahit mulutnya. Cuma itu dosa yang saya lakukan. "
Mendengar kata-kata Sarah yang datar dan tanpa rasa dosa, ulama itu berteriak marah. "Cuma itu yang anda lakukan?". "Masya Allah ....!!! Saya tidak boleh bantu anda. Saya angkat tangan". Ulama itu amat terkejut mengetahui perbuatan Sarah. Tidak pernah terbayang dalam hidupnya ada seorang manusia, apatah lagi dia adalah wanita, yang mempunyai nurani begitu tega, begitu keji. Tidak pernah berlaku dalam hidupnya, ada wanita yang melakukan perbuatan sekeji itu. Akhirnya ulama itu berkata, "Anda harus memohon ampun kepada Allah, kerana hanya Dialah yang dapat mengampuni dosa Anda."
Selepas tujuh hari ulama itu tidak mendengar khabar daripada Sarah, akhirnya dia menghubungi Sarah melalui telefon. Dia berharap Sarah telah bertaubat atas segala perbuatannya. Dia berharap Allah akan mengampuni dosa Sarah, sehingga Rahmat Allah datang kepadanya. Panggilan telefon itu dijawab oleh Hasan. Ulama menanyakan khabar Sarah.
"Ummi sudah meninggal dunia dua hari selepas menelefon ustaz," ujar Hasan Ulama itu terkejut mendengar khabar tersebut. "Bagaimana ibumu meninggal, Hasan?". tanya ulama itu. Hasanpun akhirnya bercerita: Selepas menelefon ulama, dua hari kemudian ibunya jatuh sakit dan meninggal dunia. Yang mengejutkan adalah peristiwa pengebumian Sarah. Ketika tanah sudah digali, untuk memasukkan jenazah atas izin Allah, tanah itu rapat kembali, tertutup dan mengeras. Para penggali mencari lokasi lain untuk digali. Peristiwa itu berulang kembali. Tanah yang sudah digali kembali menyempit dan tertutup rapat. Peristiwa itu berlangsung begitu cepat, sehingga tidak seorang pun para pengusung jenazah yang menyedari bahawa tanah itu kembali rapat. Peristiwa itu terjadi berulang-ulang.
Para hadirin yang menyaksikan peristiwa itu merasa ngeri dan merasakan sesuatu yang aneh berlaku. Mereka yakin, kejadian tersebut pastilah berkaitan dengan perbuatan si mayat. Waktu terus berlalu, para penggali kubur putus asa dan keletihan kerana pekerjaan mereka tak juga selesai. Siang pun berlalu, petang menjelang, bahkan sampai hampir maghrib, tidak ada satu pun lubang yang berjaya digali. Mereka akhirnya pasrah, dan beranjak pulang. Jenazah itu dibiarkan saja terdampar di tanah kering kontang. Sebagai anak yang begitu sayang dan hormat kepada ibunya, Hasan tidak mahu meninggalkan jenazah orang tuanya ditempat itu tanpa dikubur. Kalaupun dibawa pulang, rasanya tidak mungkin. Hasan termenung di tanah perkuburan seorang diri. Dengan izin Allah, tiba-tiba berdiri seorang lelaki yang berpakaian hitam panjang, seperti pakaian khusus orang Mesir. Lelaki itu tidak kelihatan wajahnya, kerana terhalang tutup kepalanya yang labuh ke depan. Lelaki itu mendekati Hasan kemudian berkata kepadanya, "Biar aku tangani jenazah ibumu, pulanglah!". kata orang itu.
Hasan lega mendengar bantuan orang tersebut, dia berharap lelaki itu akan menunggu jenazah ibunya. dan berharap mahu menggali kubur untuk kemudian mengebumikan ibunya. "Aku minta supaya kau jangan menoleh ke belakang, sehingga tiba di rumah," pesan lelaki itu. Hasan mengangguk, kemudian dia meninggalkan tanah perkuburan. Belum sempat dia keluar dari kawasan perkuburan, terdetik keinginannya untuk mengetahui apa yang terjadi dengan jenazah ibunya.
Sedetik kemudian ia menengok ke belakang. Betapa pucat wajah Hasan, melihat jenazah ibunya sudah dijilat api, kemudian api itu menyelimuti seluruh tubuh ibunya. Belum habis rasa herannya, sedetik kemudian dari arah yang berlawanan, api menerpa ke wajah Hasan. Hasan ketakutan. Dengan langkah seribu, dia pun bergegas meninggalkan tempat itu.
Demikian yang diceritakan Hasan kepada ulama itu. Hasan juga mengaku, bahawa separuh wajahnya yang tertampar api itu kini berbekas kehitaman kerana terbakar. Ulama itu mendengarkan dengan teliti dan sabar semua yang diceritakan oleh Hasan. Dia menyarankan, agar Hasan akan beribadah dengan khusyuk dan meminta ampun atas segala perbuatan atau dosa-dosa yang pernah dilakukan oleh ibunya. Akan tetapi, ulama itu tidak menceritakan kepada Hasan, apa yang telah diceritakan oleh ibunya kepada ulama itu.
Ulama itu meyakinkan Hasan, bahwa apabila anak yang soleh itu memohon ampun dengan bersungguh-sungguh, maka bekas luka di pipinya dengan izin Allah akan hilang.
Tidak berapa lama kemudian Hasan kembali mengkhabarkan ulama itu, bahawa lukanya yang dulu amat terasa sakit dan panas luar biasa, semakin hari bekas kehitaman hilang. Tanpa tahu apa yang telah dilakukan ibunya sewaktu hidup, Hasan tetap mendoakan ibunya. Dia berharap, apa-apa perbuatan dosa yang telah dilakukan oleh ibunya, akan diampuni oleh Allah SWT.
Semoga kisah benar masa kini dari Mesir ini boleh menjadi pengajaran kepada kita semua.
sumber : sini
0 ulasan:
Catat Ulasan