Sabtu, Mac 17, 2012

Cerpen : KISAH HATI...#1



LAGU ‘Cinta’ oleh kumpulan Flop Poppy berkumandang lagi membuatkan Arina tersenyum sendiri. Sejak kali pertama dia terdengar lagu itu , dia memang kepingin hendak mendengar lagu itu buat kesekian kalinya . Lagu yang ringan tapi bererti buat dirinya .
Tiba-tiba Arina mengeluh sendiri . Jauh di dalam ruang fikirannya , bayangan Muzammir menjelma . Ah… dia mengeluh lagi . Memang sejak akhir-akhir ini , dalam cerianya yang semakin pudar , Arina menjadi seorang yang terlalu pemikir .
 Tak tidur lagi , Rina ? ” entah bila teman sebiliknya ini pulang dari bilik Jasmin di tingkat bawah , Arina tidak perasan . Mungkin konsentrasinya lebih kepada apa yang berlegar di ruang fikiran . Hingga dia terlupa untuk mengendahkan perkara lain .
“ Eh , senyum-senyum pulak ! Yelah … engkau tu bukan ke jarang tidur lewat macam ni ? Malam minggu tu … lain lah cerita , ” celoteh Duratul Shazni sambil bertukar ke pakaian tidurnya .
“ Perli nampak ..? Hm … takde apa lah , Dura . Saja , coz aku baru lepas taip kad untuk Zammir ni , ” pandangannya kembali ke arah komputer peribadinya .
“ Hm … Zammir punya pasal , sanggup tak tidur malam . Kau tahu kan petang esok ada test QS ? ” Arina hanya menganggukkan kepalanya tanpa menoleh ke arah teman sebiliknya ini .
“ Kau kata … kau dengan Zammir dah ok . Tapi kenapa sunyi sepi ni ? Dia dah tak call kau lagi ke ? ” Arina menjungkitkan bahunya . Setelah material untuk kad Muzammir siap dicetak , tangannya mula melarik kertas yang telah dicetak itu dengan pisau . Ah , si kidal seorang ini ada sahaja kerjanya ! Getus Duratul Shazni setelah banyak pertanyaannya tidak bersambut .
Arina hanya tergelak kecil apabila Duratul Shazni terus menarik comforternya lantas memejamkan mata . Mungkin dia terasa hati dengan kelakuan Arina sebentar tadi . Serba-salah pula rasanya . Bukan dia tidak mahu menjawab . Tapi kalau boleh , pada ketika ini dia tidak mahu bercerita tentang Muzammir . Cukuplah sekadar dia masih mengingati Muzammir , tanggungjawabnya pada hubungan mereka dan hari-hari istimewa yang pernah dicipta bersama .
Hingga kini … sebenarnya Arina masih buntu dengan sikap Muzammir . Hendak dikatakan dia bergaduh dengan Muzammir … tiada pula ! Bila dia mendail nombor telefon Muzammir , lelaki itu masih melayannya seperti biasa . Tiada apa yang kurang dalam hubungan mereka kini . Cuma Muzammir jarang menghubunginya . Ah , bukan jarang sebenarnya malah tidak pernah lansung ! Seolah-olah Arina terlalu sukar untuk dihubungi . Seolah-olah 24 jam sehari sudah tidak cukup untuk Muzammir .
Sibuk sangatkah Muzammir kebelakangan ini ? Terlalu sibukkah hingga tidak mampu untuk meluangkan walau seminit dua untuk bertanya khabar tentang dirinya ? Mungkin musim ujian sekarang menghalangnya . Yelah … Arina sendiri pun minggu lepas hampir tidak menang tangan untuk menghadapi ujian yang bertimpa-timpa . Kadang-kadang sampai 2 ujian satu hari ! Pagi ujian Matematik IV , petangnya pula ujian Soil Mechanics . Tapi , selalunya keseluruhan warga Diploma Kejuruteraan Awam semester 4 ini lebih suka meminta supaya ujian dijalankan pada waktu malam . Mungkin suasana malam yang tenang dan nyaman lebih memudahkan mereka menghadapi tekanan yang bertimpa-timpa itu . Dan setelah hampir 2 tahun menjalani kehidupan sebagai pelajar UiTM , Arina sudah biasa menghadapi tekanan seperti itu . Inilah hidup seorang pelajar universiti ! Sekiranya diri tidak sanggup menghadapinya , janganlah berani mengaku diri ini seorang yang tabah dan cekal menghadapi cabaran ! Cabaran fizikal atau cabaran mental !
Ah , walaupun semua itu membebankan , kehidupan aku masih berjalan seperti biasa ! Tapi mengapa pula bila musim ujian dan peperiksaan tiba , susun atur hidup Muzammir menjadi luar biasa ? Hingga menghubungi aku , teman wanitanya yang sudah lebih setengah tahun berkongsi jiwa dan perasaan dengannya menjadi sesuatu yang terlalu sukar ?
“ Sudahlah , Rina … dah lewat ni . Esok-esok ajelah kau siapkan kad Zammir kesayangan kau tu …, ” eh , belum tidur lagi si Dura ni rupanya ! Kus spirit ! Nasib baiklah aku takde sakit jantung !
“ Tak pelah … dah nak siap ni , ” Arina kembali mencurah kreativitinya ke dalam kad yang bakal dihantar pada Muzammir untuk month anniversary mereka yang kesembilan pada hari Ahad ini .
“ Rina , ” panggil satu suara sebaik sahaja pintu bilik mereka dikuak . Arina menoleh melihat gerangan gadis yang melangkah masuk itu .
“ Elise , kenapa ? ”
“ Aku nak pinjam kettle , boleh ? 
“ Alah … pinjam sajalah . Kau ni macam tak biasa pulak ! Tu ambil atas rak tu , ” balasnya mesra . Elise yang tinggal selang satu bilik dari biliknya juga gemar berjaga hingga awal pagi sepertinya . Sempat juga Elise menghampirinya memerhati apa yang dibuatnya .
 For Zammir , ” jawab Arina sebelum sempat Elise menyoal . Elise hanya menepuk bahunya sambil tersenyum . Ternyata teman yang sama-sama mempelajari seni mempertahankan diri taekwondo juga berasal dari negeri yang sama dengannya ini amat maklum dengan riak mukanya .
“ Oklah , carry on … kau nak tidur terus ke lepas ni or lama lagi ? Kalau lambat lagi kejap lagi aku pulang kettle , ” tanya Elise lagi .
“ Lambat lagi kot …? Kau jengah ajelah …, ” Arina menghantarnya sampai ke pintu . Setelah kedengaran bunyi pintu Elise kembali ditutup , Arina kembali menghadap kerjanya .
 Eh , tak siap lagi ? ” entah bila Elise berdiri di sebelahnya , sedikit pun Arina tidak perasan . Berderau darahnya kerana agak terkejut . Elise hanya tergelak kecil .
“ Tu lah … kalau dah pasal Muzammir , tak ingat dah dunia sekeliling , ” usik gadis yang mengambil Diploma Pengurusan Bank ini setelah meletakkan cerek eletrik yang dipinjam tadi kembali ke tempatnya .
“ Elise , tiba-tiba aku teringat pulak . Kalau kau ke KL lain kali , aku kirim beli wallet yang aku suka tu , boleh ? 
“ Wallet yang macam dalam Cleo aku tu ke ? ” teka Elise sambil mengangkat keningnya .
“ Yeah , right ! Boleh ? ”
“ Ok , kau ingatkan tau masa aku nak balik nanti , ” pantas Elise bersetuju lantas kembali ke biliknya . Dan Arina kembali menyambung kerjanya …..



bersambung..

0 ulasan: